Rundingan FTA Malaysia-AS diteruskan

FTA_democracyKUALA LUMPUR 29 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang tertangguh tetap akan diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan akan disambung kembali sebaik sahaja beberapa isu antara kedua-dua negara dapat diselesaikan.

Menurutnya, Malaysia pada masa ini hanya menanti isyarat yang sesuai daripada Washington sebelum perbincangan dapat dimulakan kembali.

“Kita berminat meneruskan FTA, kita perlu mendapatkan isyarat yang jelas daripada Washington sebelum boleh mula berunding, beberapa isu yang menjadi penghalang perlu diselesaikan dahulu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dalam program Perbincangan Minda antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pengarang Majalah Forbes, Steve Forbes.

Kata Muhyiddin, AS masih merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dan kedudukan penting itu dijangka kekal untuk satu tempoh masa yang panjang.

Jelasnya, FTA antara kedua-dua negara akan memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan sedia ada.

Beliau bagaimanapun berkata, pada masa yang sama, Malaysia juga melihat ke arah China yang dikatakan bakal tampil sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia pada masa akan datang.

Muhyiddin berkata, China adalah rakan perdagangan yang kritikal untuk Malaysia dan negara itu memperlihatkan kemampuannya bangkit dengan pantas daripada kesan kelembapan semasa ekonomi dunia.

Sementara itu, beliau juga berkata, ekonomi Malaysia akan menunjukkan tanda-tanda positif menjelang pertengahan tahun hadapan.

Katanya, ekonomi berada dalam keadaan baik dan sedang menuju ke arah pemulihan.

Muhyiddin menambah, kerajaan telah memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian dan akuakultur untuk memastikan keselamatan sumber makanan negara,.

”Dengan pelaksanaan Pelan Akuakultur Negara, perolehan bagi sektor ini dijangka akan mencecah sehingga RM20 bilion berbanding RM8 bilion yang direkodkan sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, Malaysia tidak sama sekali menyokong mana-mana pergerakan pengganas dan menolak sepenuhnya idea perjuangan seperti itu.

Katanya, negara ini tidak berpeluk tubuh sahaja, tetapi aktif dalam forum serantau membantu membasmi pergerakan tersebut.

“Namun, isu berkaitan keganasan harus dilihat secara keseluruhan atau holistik.

“Keganasan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan yang berasingan, perlu ada pemahaman yang mendalam mengapa keganasan berlaku,” katanya.

Jelas beliau, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah pentas dunia yang terbaik bagi mengatasi isu keganasan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s