Kenyataan Pendirian DEMA

DEMA mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Barisan National dan pihak polis yang mencabuli hak asasi manusia
Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit akhbar Harakah dan Suara Keadilan, masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta dan tindakan pihak polis menghalang ceramah politik anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bukit Selambau, Kedah pada 23 Mac 2009 dengan tindakan-tindakan keras yang tidak wajar ke atas orang ramai yang tidak memberi sebarang ancaman keselamatan.

Kecaman DEMA terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap akhbar Harakah dan Suara Keadilan serta tindakan pihak polis terhadap ceramah politik anjuran Parti Keadilan Rakyat di Bukit Selambau pada 23 Mac 2009 berasaskan:

Pencabulan yang serius terhadap hak kebebasan bersuara

Ceramah politik serta penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan masing-masing merupakan platform utama yang digunakan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kedua-dua platform tersebut merupakan medium antara parti dengan masyarakat bagi menyatakan dan menjelaskan matlamat perjuangan parti serta pendirian, reaksi atau tindakan parti berkenaan perkara-perkara atau isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan parti dan masyarakat. Sekatan yang dikenakan terhadap pihak-pihak yang kritikal dengan kerajaan, dalam kes ini PAS dan PKR, merupakan satu bentuk pencabulan yang serius terhadap hak kebebasan bersuara. Artikel 19, Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memberikan dan menjamin hak kebebasan bersuara kepada setiap warganegara. Namun begitu, tindakan pihak kerajaan dalam kedua-dua kes tersebut jelas merupakan satu bentuk sekatan yang bertujuan melindungi kepentingan parti teruamanya menjelang Mesyuarat Agung UMNO yang bakal menyaksikan peralihan kuasa serta tiga pilihan raya yang dijadualkan akan berlangsung pada minggu depan. Tindakan pihak kerajaan dalam kes ini dan kes-kes yang sama sebelum ini jelas menunjukkan kerajaan gagal memberikan dan menjamin hak tersebut kepada setiap warganegara. Justeru, kerajaan jelas sekali gagal menjalankan tanggungjawabnya terhadap warganegaranya.

Pencabulan yang serius terhadap hak untuk kebebasan berkumpul dan berpersatuan

Tindakan pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kedua-dua kes merupakan satu ancaman serius oleh pihak kerajaan terhada hak untuk kebebasan berkumpul dan berpersatuan. Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas memberi dan menjamin hak untuk kebebasan berkumpul dan berpersatuan kepada semua warganegara. Justeru, setiap warganegara atau sekumpulan warganegara berhak untuk berpersatuan tanpa sebarang ancaman atau sekatan. Setiap warganegara atau sekumpulan warganegara turut berhak untuk berkumpul sebagai satu tindakan solidariti. Namun begitu, tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri(KDN) jelas merupakan satu bentuk ancaman yang amat serius terhadap hak berpersatuan setiap warganegara. Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit kedua-dua akhbar Harakah dan Suara Keadilan jelas merupakan satu bentuk sekatan dan ancaman terhadap persatuan atau organisasi yang kritikal terhadap kerajaan. Tindakan pihak polis menghalang ceramah politik anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bukit Selambau pada 23 Mac 2009 jelas sekali ancaman serius terhadap hak berkumpul yang diberi dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia terhadap setiap warganegara.

Satu bentuk intimidasi terhadap mana-mana pihak yang kritikal terhadap pihak kerajaan

Tindakan pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis jelas sekali merupakan satu bentuk intimidasi atau tindakan untuk menakut-nakutkan pihak yang kritikal terhadap kerajaan. Tindakan ini diambil susulan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan penjelasan, tindakan dan penyelesaian yang konkrit berhubung krisis-krisis yang timbul menyebabkan kerajaan menerima kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak khususnya pihak pembangkan. Kecaman dan kritikan yang diterima dilihat lebih kepada satu bentuk serangan dan ancaman terhadap pihak kerajaan daripada sebagai satu bentuk teguran dan improvisasi terhadap kelemahan dalam tindakan pihak kerajaan. Justeru, tindakan ini dilihat oleh kerajaan merupakan satu tindakan efektif dalam mempasifkan kritikan dan kecaman terhadap kerajaan menjelang Mesyuarat Agung UMNO yang bakal menyaksikan peralihan kusa serta tiga pilihan raya kecil yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan. Tindakan tersebut jelas menunjukkan betapa kerajaan telah mencabuli kedaulatan rakyat yang dijamin oleh sistem demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Pencabulan yang serius terhadap sistem demokrasi di Malaysia

Tindakan Kementerian Dalam Negeri terhadap kedua-dua akhbar dan pihak polis terhadap ceramah politik anjuran PKR di Bukit Selambau pada 23 Mac 2009 jelas sekali merupakan satu bentuk pencabulan yang serius terhadap sistem demokrasi di Malaysia. Kebebasan bersuara serta berkumpul dan berpersatuan tanpa sebarang intimidasi daripada mana-mana pihak merupakan salah satu asas yang penting dalam perjalanan sistem demokrasi. Kebebasan bersuara dan berkumpul serta berpersatuan tanpa sebarang intimidasi daripada mana-mana pihak membolehkansatu pertimbangan yang wajar dan rasional terhadap satu keputusan,tindakan atau penyelesaian yang diambil menerima persetujuan secara kolektif. Kebebasan bersuara dan berkumpul serta berpersatuan tanpa sebarang intimidasi daripada mana-mana pihak memiliki kemampuan untuk menjalankan tindakan semak dan imbang (check and balance) bagi memastikan kepentingan rakyat dapat dipertahankan selaras dengan konsep kedaulatan rakyat dalam sistem demokrasi. Pencabulan terhadap hak ini jelas dipaparkan oleh tindakan pihak kerajaan terhadap Harakah dan Suara Keadilanserta tindakan pihak polis terhadap ceramah politik anjuran PKR di Bukit Selambau pada 23 Mac 2009. Tindakan pihak kerajaan dalam kedua-dua kes ini merupakan satu tindakan yang berbentuk satu ancaman yang amat serius terhadap kedaulatan rakyat yang dijamin oleh sistem demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Justeru, kami menuntut kerajaan:


1. Membatalkan tindakan menggantung permit kedua-dua akhbar, Harakah dan Suara Keadilan seperrti yang diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri berkuatkuasa serta-merta dan berlangsung selama tiga bulan.
2. Membenarkan mana-mana persatuan,organisas i atau parti politik mengadakan aktiviti-aktiviti awam yang melibatkan orang ramai seperti ceramah politik dan lain-lain aktiviti tanpa sebarang sekatan atau ancaman daripada mana-mana pihak
3. Mengembalikan dan menjamin serta melindungi hak rakyat dengan memansuhkan segala bentuk undang-undang yang bertentangan dengan hak asasi warganegara termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Polis 1967.

Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar (DEMA)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s