Saya tidak setuju terhadap kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin bahawa pembangunan keseluruhan mahasiswa akan terbantut jika dibenarkan menyertai parti politik.
Rang undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dicadangkan oleh Kementerian tidak membawa perubahan asas. Peranan utama institute pengajian tinggi ialah mempromosikan pemikiran bebas dan kecekapan untuk memproses dan mencipta ilmu baru. Oleh yang demikian, tujuan mengkongkong kebebasan mahasiswa menyertai politik ialah untuk menghalang sebarang ketidaksetujuan dalam Negara.
Perdana Menteri Abdullah Badawi telah berjanji membawa pembaharuan selepas kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihanraya ke-12. Pengharaman terus wujud dalam AUKU mencerminkan pihak berkuasa dan Barisan Nasional memang takut dengan kuasa gerakan mahasiswa. Ini juga menunjukkan Abdullah akan mengikuti langkah Dr. Mahathir Mohamad, seorang yang menggunakan pelbagai undang-undang untuk memadamkan perbezaan pendapat dalam 22 tahun pemerintahannya.
Adalah pengetahuan am bahawa pembuatan dan perubahaan AUKU mempunyai motif politik, iaitu untuk menghapuskan gerakan mahasiswa hebat pada tahun 1970-an. Buktinya ialah selepas mahasiswa menyokong perjuangan penduduk setinggan dan penoreh getah di Tasik Utara dan Petani di Baling, pihak berkuasa mula mengkongkong kebebasan di kampus universiti.
Oleh itu, hak-hak asas mahasiswa mesti dipertahankan untuk memupuk fikiran mereka secara bebas dan menyertai proses demokratik Negara. Kerajan mesti membenarkan satu budaya intelektual yang mempromosikan fikiran kritikal di antara mahasiswa.
Dengan itu, rang undang-undang AUKU yang dicadangkan mesti :
– Mempromosi kebebasan asas (fundamental liberty) semua mahasiswa supaya menikmati hak-hak demokratik dan politik seorang rakyat
– Mempertahankan semangat kebebasan dan pluralism
– Memastikan kebebasan akademik
– Memastikan automoni organisasi mahasiswa
– Membenarkan Majlis Perwakilan Mahasiswa (Student Council) meluluskan aktiviti mahasiswa dan menganjurkan pilihanraya campus
Charles Santiago
Ahli Parlimen Klang
5 August, 2008