[Sejarah] Kes Prosiding Mahasiswa 2005

Usaha berterusan ‘membongsaikan’ pelajar kita!

Lee Ban Chen | Oct 26, 05

Malaysiakinihttp://www.malaysiakini.com/columns/42293

Tidak konsisten di antara retorik dan pelaksanaan dasar kerajaan, sering diperlihatkan sebagai “cakap tak serupa bikin”. Umpamanya, di satu pihak, penyelewengan dan keburukan sistem AP telah didedah dan dibidas, tetapi di pihak yang lain, sistem itu akan diteruskan dalam Dasar Automoltif Nasional yang baru.

Hal yang sama juga berlaku pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Yang ironis sekali ialah ketika Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh berjanji dalam Parlimen bahawa Auku akan dikaji semula, pihak pentadbir Institusi Pengajikan Tinggi Awam (IPTA) pula mengancam akan mengambil tindakan disiplin terhadap-mahasiswa di bawah akta yang sama.

Contohnya, Lim Sok Swan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), kini sedang dikenakan tindakan disiplin atas dua dakwaan di bawah Auku:

  • Pertama, mengapi-apikan pelajar untuk memboikot Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2005/2006.
  • Kedua, menjalankan urusan di luar kampus tanpa kebenaran naib canselor kerana berada dalam satu perhimpunan di hadapan Masjid Negara pada 7 Oktober 2005, dengan tujuan untuk menyertai satu perarakan dari Masjid Negara ke Bangunan Suhakam bagi menyerahkan Laporan Pilihanraya Majlis Perwakilan pelajar sesi 2005/2006.

Tidak dapat dinafikan bahawa pendirian atau tindakan menyokong, menentang dan memboikot, merupakan tiga konsep asas bagi hak demokratik rakyat Malaysia yang terjamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun 1969 umpamanya, Front Sosialis Malaya yang merupakan gabungan Parti Buruh Malaya dan Parti Rakyat Malaya, telah memboikot pilihanraya umum tahun itu kerana mereka menganggap demokrasi negara kita telah mati kerana hampir seluruh lapisan kepimpinan mereka, termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri, telah ditahan di bawah ISA, dan banyak bahagian dan cawangan parti, telah diharamkan dengan sewenang-wenangnya.

Kongkongan melampau

Di samping itu, “menjalankan urusan di luar kampus” memerlukan “kebenaran naib canselor” sedangkan kongkongan melampau merupakan hakisan hak asasi manusia terhadap kebebasan bergerak mahasiswa kita.

Jika “berada dalam satu perhimpunan di hadapan Masjid Negara pada 7 Oktober 2005, dengan tujuan untuk menyertai satu perarakan dari Masjid Negara ke Bangunan Suhakam bagi menyerahkan Laporan Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2005/2006” – bukan untuk membakar atau meletup Bangunan Suhakam – juga boleh dianggap sebagai satu kesalahan, maka lebih baik dibubarkan sahaja Suhakam, dan juga bubarkan sahaja semua IPTA yang semata-mata untuk menjinak dan “membongsaikan” pelajar kita!

Cukup menakjubkan, dan sudah pasti akan menjadi olokan yang memalukan di dalam dan luar negara jika mahasiswa yang menyertai perhimpunan/perarakan secara aman untuk menyampaikan memorandum kepada Suhakam – badan yang ditubuhkan oleh Parlimen di bawah akta yang diluluskan oleh Parlimen untuk memantau dan mempromosi hak asasi manusia di negara kita – boleh dianggap sebagai bersalah yang harus diambil tindakan disiplin oleh pentadbir IPTA terbabit!

Cuba celikkan mata untuk meneliti apa yang telah berlaku dalam sejarah gerakan pelajar dunia, umpamanya Gerakan 4 Mei 1919 dan Kejadian Tiananmen 1989 di China, gerakan pelajar Perancis pada 1968, malah gerakan pelajar kita pada tahun 1950-an dan 1970-an, serta gerakan anti-perang dan pencerobohan kuasa-kuasa Imperialis di seluruh dunia yang melibatkan pelajar .

Gerakan-gerakan pelajar tersebut sudah barang tentu bukan setakat berhimpun, mengadakan tunjuk perasaan dan menyampaikan memorandum secara aman, seperti yang dilakukan oleh pelajar kita, yang begitu jinak dan mematuhi undang-undang!

Boikot pilihanraya

Meskipun demikian, pelajar kita masih tidak dilepaskan oleh pentadbir IPTA terbabit dan terpaksa berhadapan dengan Auku! Saya tidak faham, adakah kerajaan BN memang bertujuan (secara sedar atau tidak sedar) untuk menindas mereka supaya menjadi lebih militan atau terpaksa bergerak di bawah tanah secara subversif?

Bantahan dan pemulauan pelajar terhadap pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar IPTA kali ini rasanya berasas dan selaras dengan prinsip demokrasi yang patut disanjung oleh setiap orang yang menganggap dirinya seorang demokrat.

Menurut laporan media dan kenyataan badan-badan pelajar, mungkin beberapa penyelewengan dan campurtangan pentadbir IPTA yang tidak diingini, telah berlaku. Terutamanya, prinsip autonomi kampus yang sekali lagi telah diinjak-injak oleh pentadbir IPTA. Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar IPTA seolah-olah bukan urusan pelajar sendiri lagi, tetapi urusan naib canselor, Jabatan Hal-ehwal Pelajar, malah pasukan keselamatan kampus dan parti politik.

Pelajar secara terang-terangan dilabel menjadi dua kumpulan – kumpulan pro-aspirasi dan kumpulan pro-pembangkang. Tanpa segan silu lagi, mereka berpihak kepada kumpulan pro-aspirasi. Kelab Aspirasi atau Kelab Wawasan telah ditubuhkan. Awal-awal lagi, pelbagai mesyuarat telah diadakan untuk membuat persediaan demi menjamin kemenangan cemerlang kumpulan aspirasi .

Pelajar tidak dianggap sebagai entiti yang bebas dan mempunyai jati diri tersendiri, sekaligus dihargai sebagai individu yang mampu membuat keputusan sendiri secara bertanggungjawab. Maka mereka sentiasa dibimbing, dikawal, dipantau dan disekat oleh seribu satu peraturan dan larangan.

Syarat-syarat calon – yang ditetapkan pihak pentadbir secara unilateral tanpa berunding dengan pelajar – antara lain termasuk kelayakan pencapaian akademi, kebolehan berpidato dan sebagainya.

Bayaran puluhan, malah ratusan ringgit wang deposit diperlukan sebelum seseorang calon dilayakkan untuk bertanding – sepertimana dalam pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam pilihanraya umum .

Syarat calon

Calon-calon yang dianggap pro-pembangkang, sering dibatalkan kelayakan mereka atas alasan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, baik dari segi kelayakan pencapaian akademi, atau dikatakan gagal mendapat tandatangan yang mencukupi atau kerana halangan yang lain. Sabotaj yang lebih dahsyat ialah gerakan melalui telefon kepada anggota keluarga calon, kononnya jika calon berkenaan menarik diri daripada bertanding, biasiswanya akan ditarik balik.

Tempoh masa berkempen juga singkat. Cara berkempen, tempat berkempen, isi kandungan berkempen, sehingga cogan kata, bilangan kain rentang dan jumlah bahan propaganda, sidang akhbar, malah cara mengundi (pelajar menentang cara e-voting), semuanya ditetapkan oleh pihak pentadbir IPTA secara unilateral.

Pasukan keselamatan kampus diberi kuasa untuk menyerbu asrama pelajar wanita pada jam 2 pagi untuk menahan pelajar yang kononnya mempunyai bahan propaganda yang haram (baca: tidak diluluskan oleh pihak pentadbir IPTA berkenaan) – jika pun tidak lebih hebat daripada CIA menyerbu orang yang disyaki sebagai pengebom berani mati Al-Qaeda!

Dalam keadaan yang kelam-kabut ini, badan gabungan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah meminta Suhakam menghantar wakil-wakilnya untuk memantau pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2005/2006 agar berjalan secara adil dan bebas.

Namun, permintaan yang dilihat wajar itu, juga ditolak oleh pihak IPTA terbabit. Dalam keadaan ini, selain memboikot, bagaimanakah pelajar dapat menyuarakan bantahan mereka secara berkesan?

Oleh itu, yang patut dibicarakan rasanya bukan Lim Sok Swan atau mana-mana pelajar yang menyertai perhimpunan dan perarakan atau mereka yang memboikot pilihanraya pelajar terbabit, tetapi Auku dan pentadbir IPTA terbabit yang bersikap anti-hak asasi manusia dan tidak bersemangat demokratik!

Lim Sok Swan dan pelajar-pelajar terbabit bukan saja tidak bersalah, tetapi mereka mempertahankan autonomi kampus dan prinsip demokrasi dengan tindakan yang halal dan sesuai bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti negara kita.

Justeru, semua badan dan orang perseorangan, khasnya Suhakam, patut tampil membela Sok Swan dan kawan-kawannya, dan memperjuangkan pemansuhan Auku!

One thought on “[Sejarah] Kes Prosiding Mahasiswa 2005

  1. DEMA should continue the struggle to abolish AUKU.
    “只有继续奋斗将不合理的大专法令废除,才对得起过去的牺牲和所被压迫过的人,以及为了下一代的学生。”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s