[Mkini]Mahasiswa dan pilihanraya umum

Amin Iskandar

http://www.malaysiakini.com/columns/77971

Cakap-cakap tentang pilihanraya umum boleh didengar di mana-mana sekarang. Khabar angin mengenai tarikh pilihanraya umum kali ini boleh dikatakan yang paling sahih. Media-media arus perdana tidak ketinggalan menghangatkan suasana. Pesta demokrasi semakin hampir tiba.

Dikatakan Abdullah Ahmad Badawi akan membubarkan Parlimen selepas perayaan Tahun Baru Cina dan pilihanraya akan diadakan pada awal bulan Mac. Cabar mencabar antara parti politik pemerintah dan pembangkang telah bermula. Kempen juga telah bermula walaupun tarikh sebenar pilihanraya masih lagi belum ditetapkan.

Pemimpin BN telah memulakan kempen mereka. Bagi yang memegang jawatan menteri, mereka telah berkempen dengan menggunakan kementerian masing-masing. Malahan ada yang telah mula berkempen sejak akhir tahun lalu. Contohnya, Menteri Pelajaran yang memakai topi dan t-shirt BN sewaktu menghantar bantuan di sekolah yang dilanda banjir.

Kalau di sesetangah negara Asia seperti di Filipina atau Indonesia, sudah pasti menteri atau calon yang menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen, akan dikenakan tindakan seperti dilucutkan kelayakan bertanding. Tetapi di Malaysia semua ini tidak menjadi masalah.

Parti-parti pembangkang tidak kurang hebatnya. Pentas-pentas ceramah telah dibuka di seluruh negara. Bagi pemimpin yang popular, mereka akan menerima undangan berceramah ke seluruh negara. Contohnya, naib presiden sebuah parti pembangkang yang terbesar memberitahu saya sewaktu kami ditahan sama-sama ditahan selama dua malam di lokap Penjara Pudu baru-baru ini bahawa beliau telah terlepas enam program. Bayangkanlah baru dua malam ditahan, beliau telah terlepas enam program!

Perang bendera juga dikatakan telah bermula, terutamanya di negeri-negeri panas seperti Terengganu dan Kelantan. Seorang teman yang baru pulang bercuti di Terengganu sempena Tahun Baru Cina memberitahu saya bahawa bendera parti Melayu dan parti Islam telah dinaikkan dengan banyaknya di Terengganu – seolah-olah Parlimen telahpun dibubarkan.

Bila berbicara mengenai pilihanraya umum, sudah pasti mahasiswa akan menjadi topik hangat. Walaupun mereka tidak bertanding, namun mereka tetap digeruni.

Amaran kepada mahasiswa

Baru-baru ini, Menteri Pelajaran Tinggi, Mustapa Mohamed memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak terlibat dalam kempen pilihanraya umum akan datang. Beliau turut mengugut untuk menarik balik biasiswa mahasiswa yang ditangkap terlibat dalam kempen pilihanraya bagi membantu parti politik.

”Peraturan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian.

”Begitupun untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya hanya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik,” katanya. (Utusan Malaysia, 11 Fenuari 2008).

Yang menyedihkan, undang-undang dan tindakan hanya akan diambil kepada mahasiswa yang terlibat membantu parti-parti pembangkang berkempen. Belum pernah dalam sejarah mahasiswa yang membantu BN diambil tindakan oleh pihak universiti. Mahasiswa yang terlibat dengan Putera Umno, Puteri Umno atau Puteri MIC akan dibenarkan bergerak untuk berkempen manakala yang berkempen untuk PAS dan PKR akan berdepan dengan tindakan pihak universiti.

Sebelum ini, pada 7 januari 2008, kita dikejutkan dengan kumpulan mahasiswa yang mahu menubuhkan parti politik yang dinamakan Parti Mahasiswa Negara (PMN). Pengumuman penubuhan PMN dibuat di hadapan pejabat SPR di Putrajaya. PMN turut mengatakan bahawa mereka akan meletakkan calon dalam pilihanraya umum yang akan datang. PMN juga menyatakan bahawa tindakan mereka menubuhkan parti politik bertujuan untuk memecahkan tanggapan bahawa mahasiswa adalah ejen kepada BN atau parti pembangkang.

Penubuhan PMN telah mendapat reaksi pelbagai pihak. Menurut Setiausaha PMN, Amirul Faiez Hamdi, kebanyakan reaksi yang diterima bersikap menentang dan melarang penglibatan mahasiswa dalam politik.

Menurutnya, antara reaksinya ialah dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan dengan jelas bahawa mahasiswa tidak boleh sama sekali terlibat di dalam pilihanraya berdasarkan Seksyen 15 AUKU 1975 (Harakahdaily, 24 Januari 2008).

Warnai persada politik

Begitu juga dengan reaksi dari Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi. Namun dengan tegas beliau mengatakan bahawa PMN tidak memperdulikannya dan akan meneruskan hasrat mereka.

“Kami sama sekali tidak beriman terhadap Auku 1975. Malahan secara terang-terangan kami sudah melanggar Auku, mengapa masih menggunakan lagi akta tersebut dalam mengugut para mahasiswa yang memberikan sokongan terhadap PMN?

“Pendirian kami terhadap Auku tidak pernah berubah sama ada ianya perlu dimansuhkan secara total mahupun akan dipinda beberapa seksyen yang terkandung dalamnya,” jelasnya. (Harakahdaily, 24 Januari 2008).

Jika benar PMN akan bergerak aktif dalam pilihanraya umum akan datang, maka ianya akan melakar sejarah baru dalam gerakan mahasiswa di Malaysia. Mahasiswa yang selama ini hanya dilihat sebagai ejen kepada BN ataupun parti pembangkang, akan mewarnai persada politik negara dengan calon-calon mereka sendiri untuk menentang calon-calon BN dan pembangkang.

Ini adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan dan undang-undang yang tidak demokratik. Auku selama ini telah banyak menyebabkan mahasiswa dibuang universiti kerana pembabitan mereka dalam politik. Sepertimana yang berlaku kepada tujuh pelajar yang dibuang universiti akibat menyertai perhimpunan aman menentang ISA anjuran Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) pada 8 Jun 2001.

Kini telah lahir sekumpulan mahasiswa yang mencabar AUKU secara terang-terangan dengan menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Penubuhan parti di kalangan mahasiswa itu bukanlah satu perkara yang baru di negara jiran.

Kejatuhan Soeharto

Di Indonesia, Parti Rakyat Demokratik (PRD) yang ditubuhkan oleh mahasiswa dan anak muda telah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Arwah Diktator Soeharto. PRD turut bertanding dalam pilihanraya di Indonesia pada tahun 1999.

Parlimen dikatakan akan dibubarkan dalam sehari dua ini. Jika ianya berlaku, maka benarlah pilihanraya umum akan diadakan pada awal bulan Mac. Pastinya pilihanraya kali ini akan menjadi lebih sengit antara BN dan pembangkang ekoran pelbagai isu yang melanda negara pada akhir-akhir ini seperti kenaikan harga barang.

Kedua-dua pihak berada dalam keadaan tertekan. BN tertekan untuk mempertahankan keputusan baiknya pada tahun 2004 manakala parti pembangkang pula tertekan untuk menambahkan lebih banyak kerusi dan mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang.

Gendang pilihanraya akan dibunyikan tidak lama lagi,
Pesta demokrasi akan bermula,
Perang poster dan bendera akan menghujani satu negara,
Lobi-melobi untuk menjadi calon pilihanraya telah lama bermula,
Pastinya ada yang akan kecewa,
Namun itu adalah perkara biasa,
Adat resam pilihanraya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s