[Harakahdaily]KPT layan mahasiswa seperti kanak-kanak

Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Wan Salleh

PUTRAJAYA, 14 Dis (Hrkh) – Hampir 100 mahasiswa daripada pelbagai universiti dan pertubuhan hadir ke Kementerian Pengajian Tinggi pagi tadi bagi memberikan sokongan kepada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Lee Song Yong yang dihukum di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 baru-baru ini.

Namun mereka kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pihak KPT walaupun temu janji untuk penyerahan memorandum tersebut telah dibuat awal lagi.

“Kami kecewa, dilayan macam kami ni kanak-kanak. Kami mahasiswa, jangan buat kami seperti ini,” ujar Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syeikh Omar Ali yang ditemui di perkarangan kementerian tersebut.

Seramai 11 mahasiswa yang menganggotai satu delegasi daripada pelbagai pertubuhan NGO mahasiswa serta wakil mahasiswa daripada UM, UKM, UPM, UUM, USM, UiTM telah meminta untuk bertemu dengan wakil menteri Pengajian Tinggi.

Namun, mereka gagal apabila pihak polis dan pegawai keselamatan tidak membenarkan delegasi tersebut naik berjumpa dengan pegawai terbabit.

Sejurus kemudian, Pegawai Khas Menteri KPT, Ruji Ubi, turun bersama beberapa pegawai KPT lain bagi menerima memorandum tersebut di hadapan pintu masuk kementerian tersebut.

Menurut Ruji, beliau tidak dibolehkan untuk berbincang dengan delegasi mahasiswa tersebut apatah lagi membuat sebarang keputusan

“Itu bukan tanggungjawab saya, saya hanya diminta turun dan mengambil memorandum tersebut bagi pihak menteri,” ujarnya kepada mahasiswa yang berhimpun tersebut, kemudian terus berlalu meninggalkan lokasi.

Namun, delegasi mahasiswa tetap mahu berjumpa beliau di pejabat KPT memandangkan mereka telah membuat temu janji bagi mengaturkan perbincangan tersebut sebelum datang menemui wakil KPT hari ini.

“Apa yang berlaku, seolah-olah menunjukkan KPT melayan mahasiswa dengan tidak sewajarnya. Mahasiswa tidak dihormati, sedangkan kami telah mengikuti segala saluran dan cara yang telah dicadangkan sebelum ini,” ujar wakil Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), V. Selvam kepada Ruji.

Beliau menyatakan bahawa pegawai tersebut tidak menunaikan peranan dan tanggungjawab dan Selvam juga menyatakan bahawa mahasiswa tidak harus dilayan dengan sikap sedemikian oleh pihak KPT.

“Takkan mahasiswa dilayan begini? Kami mahu berjumpa dengan baik, bukan di kaki lima seperti sekarang,” ujarnya sejurus tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengemukakan memorandum sokongan untuk memansuhkan hukuman Lee tidak bersetuju untuk diserahkan ketika itu.

Memorandum tersebut juga disokong oleh 51 organisasi, 89 tandatangan serta menerima sokongan 19 ahli parlimen.

Kali ini laungan ‘student power’ telah ditambah dengan satu lagi slogan, ‘Kami mahu jumpa Tok Pa,’ ‘Tok Pa bapa tiri’ dengan nada yang sedih dan kecewa.

Lee dikenakan hukuman tersebut setelah sabit kesalahan tidak bekerjasama dengan pegawai-pegawai UPM.

“Hari ini saya datang bagi mengemukakan rayuan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed bagi membatalkan hukuman yang dijatuhkan ke atas saya oleh UPM. Saya harap proses untuk menggugurkan hukuman tersebut dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya yang ditemui di perkarangan kementerian tersebut.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap reaksi yang diterima pihak universiti dan KPT memandangkan semester baru akan bermula pada 24 Disember akan datang.

Ini kerana jelas Lee, beliau masih mempunyai baki empat subjek bagi menamatkan pengajiannya bagi mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.

Selain itu, Lee juga membangkitkan beberapa persoalan yang timbul ekoran prosiding kes beliau yang dijalankan oleh pihak berkuasa tatatertib pelajar UPM yang disifatkannya sebagai mempunyai kecacatan.

“Saya ingin membuat aduan kepada KPT, khususnya mengenai pengendalian kes ini yang hanya merekodkan perjalanan prosiding dengan berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh pencatat, yakni ia tidak dicatat sepenuhnya,” tegasnya.

Jika diteliti, catatan tersebut bukan merupakan catatan setiap patah perkataan (verbatim) tetapi hanya merupakan kesimpulan jawapan yang diberikan oleh saksi-saksi yang disoal semasa prosiding tersebut.

Oleh itu, catatan tersebut tidak dapat dianggap sebagai rekod prosiding yang tepat, di samping jawapan-jawapan saksi yang menyebelahinya tidak dicatat dengan sempurna.

Dalam satu surat yang dialamatkan kepada Timbalan Naib Canselor Jaringan dan Industri Masyarakat UPM, Prof Tai Shzee Yew, Lee mengemukakan tujuh hujah bagi mempertahankan dirinya.

Antaranya menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang barang mahupun dokumen yang menyalahi undang-undang universiti ketika diperiksa oleh pegawai UPM, seterusnya membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang niat jahat apabila meminta penjelasan daripada mereka.

Bertempat di hadapan KPT, 100 mahasiswa tersebut membawa kain rentang yang tertulis ‘Bantah hukuman zalim, Hentikan gantung semester, selain poster dengan slogan seperti Auku zalim, Auku teruk, Bebaskan mahasiswa.

Mereka juga menyanyikan lagu berunsur demokrasi dalam versi bahasa Melayu dan Cina yang menceritakan mengenai nasib demokrasi kampus yang telah mati. – mns

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/kpt-layan-mahasiswa-seperti-kanak-kanak.html<!––>

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s